ACD Penduduk Tiga Kampung Di Sebuyau Melibatkan 240 Individu

SABTU 11 SEPTEMBER 2021

SEBUYAU: Operasi pengesanan kes aktif (ACD) dilaksanakan di tiga kampung iaitu Kampung Baru, Kampung Baru Hilir dan Kampung Jalan Giat Mara Sebuyau bagi mengelak kemungkinan penularan wabak COVID-19 di kawasan berkenaan, pada Sabtu.

Operasi itu dilaksanakan susulan ketiga-tiga kampung itu dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 10 sehingga 23 September depan.

Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Sebuyau, Dr Amir Firdaus yang mengetuai operasi itu memberitahu, seramai 240 individu telah membuat ujian saringan COVID-19 hari ini.

Menurut Dr. Amir Firdaus, mereka yang telah menjalani ujian akan dipakaikan gelang kuarantin dan akan ditanggalkan sebaik sahaja keputusan ujian mereka negatif.

ACD yang dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Klinik Sebuyau bersama Pegawai Kesihatan Klinik Sebagan itu bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

Para penduduk juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan pelitup muka semasa proses ujian saringan tersebut dilakukan.

Proses pelaksanaan ACD berjalan lancar dan terkawal dengan seliaan anggota petugas barisan hadapan yang terlibat. -EDISI UKAS