Penduduk Perumahan Flat Taman Ceria Permyjaya Miri Bakal Terima Perkhidmatan Jalur Lebar UniFi Penghujung Tahun Ini

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

MIRI: Penduduk perumahan flat Taman Ceria Permyjaya bakal menerima perkhidmatan jalur lebar UniFi pada penghujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak empat unit peti pengagihan FDC-fiber dalam proses pembinaan di sekitar perumahan flat di Taman Ceria Permyjaya.

Ujar beliau, apabila siapnya pelaksanaan projek itu, ia akan memanfaatkan kira-kira 2,860 penghuni di perumahan tersebut.

“Kira-kira 2,860 penghuni akan menerima manfaat perkhidmatan jalur lebar unifi ini apabila projek ini siap pada penghujung tahun ini.

“Perkhidmatan jalur lebar UniFi sangat penting khususnya menjelang pandemik COVID-19 ini di mana pelajar-pelajar perlu menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian,”ujar Datuk Lee ketika mengadakan lawatan tapak perlaksanaan projek pembinaan perkhidmatan jalur lebar UniFi pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama ujar beliau, Tudan Desaras Fasa 6 turut menjalankan projek yang sama dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

“Siapnya kedua-dua projek ini nanti, bermakna rangkaian Internet seluruh bandar raya Miri menerima kemudahan UNIFI berbanding dengan kemudahan Streamyx terdahulu,” katanya lagi.-EDISI UKAS

Share
0

add comment