Remaja Berumur 16 Hingga 17 Tahun Di Miri Mula Divaksinasi

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

MIRI: Pemberian suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dos bagi remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun di Miri btelah bermula pada Jumaat lepas dan akan berlangsung sehingga 12 September ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, vaksinasi diberikan mengikut jadual yang ditetapkan secara serentak di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam bahagian Miri.

“Ibu bapa atau penjaga yang hadir menemani anak-anak mereka untuk menerima suntikan vaksin hendaklah membawa bersama dokumen pengenalan diri anak, ibu bapa atau penjaga dan rekod perubatan anak jika berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Dewan Eastwood dan Dewan Curtin University, pada hari pertama pemberian vaskin itu.

Datuk Lee yang juga yang juga Menteri  Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menambah, vaksinasi bagi sekolah di kawasan pedalaman akan dilakukan di klinik Kesihatan yang telah ditentukan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Ujar beliau lagi, suntikan vaksin COVID-19 turut diberikan kepada semua pelajar berumur 12 hingga 17 tahun yang berkomorbid.  

“Suntikan vaksin COVID-19 turut diberikan kepada semua pelajar berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai komorbid iaitu keadaan di mana seorang individu mempunyai lebih daripada dua penyakit serentak seperti darah tinggi, kencing manis, OKU dan sebagainya termasuklah obesiti.

“Pemberian vaksin akan diberikan di Hospital Miri mengikut janji temu yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, bagi remaja berumur 16 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah dan bagi pelajar-pelajar dari bahagian-bahagian lain yang sedang berada di Miri sekarang pula, mereka boleh mendapatkan vaksinasi secara walk-in di mana-mana PPV awam yang berhampiran kecuali kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, katanya, ketua-ketua masyarakat iaitu Ketua Kampung, Tuai Rumah dan Kapitan diminta untuk mengenal pasti anak-anak muda di kawasan masing-masing yang berumur 16 hijgga17 tahun dan yang sudah tidak bersekolah.

“Maklumat berkenaan perlu diisi ke dalam borang yang telah disediakan kepada Pejabat Daerah masing-masing untuk tujuan penyelarasan Program Imunisasi COVID-19,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Agama Miri, Nur Anisha Faharna Mohiddin ketika ditemui berkata, beliau menyatakan kelegaannya dan syukur setelah diberi suntikan.

“Selepas divaksin saya rasa lega sebab lebih selamat dan dapat mengelak daripada COVID-19, syukur sebab lepas dapat vaksin ini kerana selepas ini dapat pergi sekolah balik,” katanya.

Manakala bagi Nurathiqah Noh, yang juga pelajar SMK Agama Miri, memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang kesan sampingan dan tidak sabar untuk mendapatkan dos kedua pula.

“Tiada rasa apa-apa kesan sampingan setelah divaksin, perjalanan untuk ambil vaksin sangat lancar, semua pekerja ramah mesra dan tidak sabar untuk menunggu vaksinasi dos kedua,”ujarnya.

Salah seorang pelajar SMK Chung Hua, Nashvin Singh Sidhu berkata, sepanjang proses vaksinasi kakitangan di PPV Eastwood Valley memberi layanan yang baik di mana aliran pendaftaran bersistematik.-EDISI UKAS

Share
0

add comment