Semua Sektor Ekonomi Akan Dibuka Semula Selepas Program Imunisasi Selesai: KM Sarawak

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

SRI AMAN: Semua sektor ekonomi di Sarawak akan dibuka semula sepenuhnya selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) lengkap dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi bergantung kepada program imunisasi yang kini sedang giat dilaksanakan.

Tegasnya, masyarakat juga perlu menyesuaikan diri untuk hidup bersama pandemik COVID-19 yang kini memasuki fasa endemik.

“Dari segi jumlah angka agak tinggi tapi kebanyakannya adalah kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala dan merbahaya.

“Bermakna ia akan meningkat ke peringkat endemik iaitu kita ada ketahanan, maka jangkitan tidak serius. Apa yang perlu kita jaga SOP seperti penyakit-penyakit yang lain,” katanya semasa meninjau Program Imunisasi Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.

Mengulas mengenai program tersebut, katanya seramai 2,179 pelajar sekolah menengah berusia 16 hingga 17 tahun dari tujuh buah sekolah di Sri Aman mula divaksinasi sejak 8 September lepas.

Jelasnya, seramai 1,482 pelajar dari empat buah sekolah iaitu SMK Engkelili, SMK Lubuk Antu, SMK Melugu dan SMK ST Luke telah menerima vaksin dos pertama setakat 9 September.

“Kita berharap mereka yang berumur 16 dan 17 tahun akan mendapat vaksinasi lengkap sebelum sekolah dibuka pada 3 Oktober.

“Selepas ini kita akan terus memberi vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 15 tahun. Ini kita harap akan dilengkapkan pada hujung Oktober,” tambah Ketua Menteri lagi.

Sementara itu, Ketua Menteri sempat melakukan lawatan kerja ke projek menaik taraf Waterfront Sri Aman yang menelan kos sebanyak RM9,677,677.

Dalam lawatan itu, beliau diberi taklimat oleh Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Tay Guan Huat mengenai status projek berkenaan.

Projek dijangka siap sepenuhnya pada September ini dengan panjang sejauh 350 meter itu bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong di Sri Aman kerana turut dilengkapi dengan pusat kebudayaan, menara tinjau, medan selera dan menjadi lokasi utama penganjuran Pesta Benak.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan ADUN Lingga Simoi Peri. – EDISI UKAS

Share
0

add comment