Seramai 393 Pelajar SMK Simunjan No. 1 dan SMK Sri Sadong Divaksinasi

SABTU, 11 SEPTEMBER 2021

SIMUNJAN: Seramai 393 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1 dan SMK Sri Sadong menerima suntikan vaksin dos pertama jenis Pfizer di Dewan Seri Gemilang SMK Simunjan No, 1 pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turut hadir bagi meninjau proses pemberian vaksin kepada remaja di daerah Simunjan yang berumur 16 dan 17 tahun itu.

Menurut beliau, seramai 393 orang pelajar telah mengambil vaksin pada Jumaat, manakala bagi pelajar yang tidak dapat menerima suntikan vaksin disebabkan PKPD di Kampung Melanjok, Kampung Nanas dan Kampung Sageng akan divaksinasi pada hari lain.

“Program vaksinasi hari ini (Jumaat) amat lancar dan sangat menggalakkan di mana sokongan daripada ibu bapa pelajar amat baik sekali.

“Saya juga berterima kasih kepada petugas barisan hadapan iaitu pihak KKM, RELA, PDRM serta pihak sekolah yang menyediakan tempat dan mengurus tadbir pelajar-pelajar bersama ibu bapa yang datang untuk mendapatkan vaksin pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Simunjan No. 1, Paul Anka Sutey ketika ditemui, beliau memaklumkan program vaksinasi hari ini melibatkan dua sekolah iaitu SMK Simunjan No. 1 dan SMK Sri Sadong.

“Untuk rekod, seramai 139 orang pelajar dari SMK Sri Sadong, manakala dari SMK Simunjan No. 1 pula seramai 254 orang pelajar menerima vaksin COVID-19 hari ini.

“Program hari ini berjalan dengan lancar dengan bantuan daripada pihak Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Simunjan dan Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, bagi penerima vaksin iaitu Andyerson Khana Tapa dan Camella Rinta Johny memberitahu, mereka sangat gembira setelah divaksinasi dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan program vaksinasi kepada pelajar sekolah serta berasa lebih yakin setelah menerima vaksin COVID-19.

Turut hadir meninjau dan mengiringi ADUN Simunjan ialah Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap. -EDISI UKAS