Seramai 531 Pelajar SMK Tebakang Divaksinasi Dos Pertama

SABTU 11 SEPTEMBER 2021

SERIAN: Seramai 531 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada Jumaat.

Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu mendapati pihak ibu bapa dan guru dari SMK Tebakang turut hadir membantu pihak petugas kesihatan di PPV tersebut bagi memudahkan proses pemvaksinan.

Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Chali Ungang berkata, program pemberian vaksin tersebut diberikan kepada semua pelajar berusia 16 sehingga 17 tahun di enam sekolah menengah dan sebuah sekolah swasta bahagian Serian bermula Rabu lepas.

Katanya, proses pemvaksinan berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya berharap pelajar yang sudah menerima suntikan vaksin agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri semasa berada di luar sekolah,” katanya.

Difahamkan juga, bagi mana-mana remaja berumur 16 dan 17 tahun yang tidak bersekolah boleh datang ke PPV secara jumpa terus bersama ibu bapa mereka. -EDISI UKAS

Share
0

add comment