40 Kenderaan Sertai Konvoi Kembara Semarak Merdeka dan Rali Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Di Samarahan

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 40 kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai Konvoi Kembara Semarak Merdeka dan Rali Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat DUN Muara Tuang/Parlimen Kota Samarahan 2021 pada Sabtu.

Konvoi anjuran bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Bahagian Samarahan, Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang serta Pejabat Daerah Samarahan itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2021.

Peserta konvoi telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang di perkarangan Pejabat Daerah Samarahan.

Pada program itu turut diadakan majlis penyampaian cenderamata Jalur Gemilang dan Bendera Sarawak serta nyanyian lagu Jalur Gemilang dengan mengibarkan bendera.

Konvoi berarak melalui empat lokasi iaitu bermula di Pejabat Daerah Samarahan pada pukul 2.30 petang, kemudian Masjid Muara Tuang (serahan bantuan makanan), Pengkalan Feri Muara Tuang dan Pusat Penjaja Kampung Entingan (serahan bantuan makanan dan wang bantuan niaga kepada penjaja) dan berakhir di Marqas Operasi ADUN Muara Tuang, Taman Desa Ilmu, Samarahan pada pukul 3.30 petang.

Sementara itu, Dato’ Idris Buang berkata, konvoi tersebut bertujuan menunjukkan rasa terima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang membawa Sarawak menyertai Malaysia dan Merdeka di dalam Malaysia.

Katanya, ia secara tidak langsung menyemarakkan rasa keterujaan sebagai rakyat Malaysia yang sedang meraikan Hari Malaysia 2021 pada 16 September nanti.

“Sebagai rakyat yang benar-benar bertanggungjawab cintakan negara, semangat patriotrik perlu dipupuk sepanjang masa kerana kita jaga Malaysia, kita jaga Sarawak dan mengangkat darjat negara kita ke tahap yang paling tinggi di mata dunia,” katanya semasa Program Konvoi Kembara Semarak Merdeka & Ralli Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Muara Tuang/Kota Samarahan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, rakyat perlu meraikan 31 Ogos sebagai anak Malaysia dan 16 Septermber sebagai anak negeri Sarawak dengan semangat patriotisme yang tinggi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Naib Yang DiPertua Majlis Pengakap Sarawak, Dato’ Mohd Safri Abdullah, Pegawai Penerangan Bahagian Samarahan, Abdul Latip Samsudin serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

Share
0

add comment