5,291 Kes Positif COVID-19 Tertinggi Pernah Dicatatkan Di Sarawak, Kini Penularan Secara Meluas Dalam Komuniti

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sebanyak 5,291 kes positif COVID-19 telah dicatatkan di Sarawak menjadikan kumulatif kes 156,798 pada Ahad. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dato’ Dr Mohamed Sapian Mohamed dalam kenyataan medianya berkata, ini merupakan bilangan kes baharu harian tertinggi dan hari kelapan berturut-turut bilangan kes harian melebihi angka 3,000 bermula 5 September 2021. 

“Jumlah 5,291 kes baru hari ini adalah dari 28,065 keputusan sampel yang diuji dengan kadar positif adalah 18.8 peratus. Kadar ini meningkat dari purata 14.5 peratus. 

“Ini menunjukkan kejadian penularan ini telah berlaku secara meluas dalam komuniti. 

“Peningkatan kes harian telah menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif,” katanya. 

Tambah beliau lagi, bilangan sampel yang tinggi ini telah membebankan kapasiti makmal sedia ada dan justeru memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian (‘turn-around-time’) walaupun melalui penyumberluaran yang telah dilaksanakan. 

“Ini mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari. 

“Walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti. 

“Daripada jumlah 5,291 kes baharu yang dikesan pada hari ini, 99.9 peratus kes berada pada tahap kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) semasa dikesan positif,” tambahnya.

Ujar Dato’ Dr Mohamed lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedag dan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi COVID-19 di Sarawak. 

Langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa termasuk penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh Sarawak bagi mengenalpasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas. 

Katanya, perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Justeru, ramai diseru untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul iaitu pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal pada setiap masa serta bersama dan bertanggungjawab memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini.-EDISI UKAS

Share
0

add comment