Datuk Rosey Hadir Majlis Serah Kunci Surau Kampung Rambai, Benteng Hakisan Tebingan Sungai Sibuti

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

BEKENU: Pembinaan Surau Kampung Rambai yang telah siap ini akan memberi manfaat kepada semua penduduk di kampung ini termasuk golongan belia.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, selain aktiviti keagamaan pelbagai aktiviti lain juga boleh diadakan di surau dan kawasan sekitarnya dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Setiap aktiviti yang dilaksanakan perlu turut melibatkan golongan belia supaya mereka tidak berasa disisihkan. 

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mempunyai satu jawatankuasa belia agar mereka dapat menyumbang idea dan memberi peluang untuk mengeluarkan pendapat kerana mereka ini adalah pelapis negara. 

“Kejayaan masa depan adalah bergantung kepada belia masa sekarang,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Kunci Surau Kampung Rambai pada Jumaat. 

Pembinaan Surau Kampung Rambai denngan kos RM350,000 ini merupakan salah satu projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Bekenu. 

Sejurus selepas itu, Datuk Rosey yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu telah melawat dan menyaksikan penyerahan Projek Membina Benteng Hakisan Tebingan Sungai Sibuti pada Jumaat. 

Projek sepanjang 85 meter itu telah dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Miri bermula Mac 2021 dan siap pada 10 September 2021 dengan kos RM300,000. 

Ianya akan memberi manfaat kepada penduduk kampung di sekitar Bekenu menjalani aktiviti riadah dan memberi mengurangkan hakisan sungai.-EDISI UKAS

Share
0

add comment