Kira-Kira 900 Pelajar Di DUN Bekenu Terima Suntikan Vaksin COVID-19

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

BEKENU: Kira-kira 900 orang pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun di empat sekolah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Bekenu dan PPV Dewan Masyarakat Sepupok Niah pada Sabtu.

Empat buah sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu, SMK Subis, SMK Luar Bandar Miri dan SMK Suai. 

Sementara itu, prihatin dengan proses vaksinasi melibatkan para pelajar di sekolah berkenaan, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus melakukan lawatan di dua pusat pemberian vaksin berkenaan.

Beliau juga sempat menyantuni para ibu bapa yang hadir mengiringi anak masing-masing dalam proses vaksinasi tersebut.

Dalam pada itu, hasil temubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terhadap remaja yang terlibat dalam proses vaksinasi COVID-19 berkenaan, mereka menyifatkan proses vaksinasi sangat penting dan berterima kasih di atas pelaksanaannya ke atas mereka ke arah mencapai imuniti kelompok sekaligus mengekang penularan COVID-19. 

Hector Hezekiel Ace dari SMK Bekenu menyifatkan proses vaksinasi ini penting dalam usaha melindungi diri daripada ancaman COVID-19 walaupun tidak secara keseluruhannya. 

“Program vaksinasi ini, semua rakyat Malaysia perlu mendapatkan vaksin.  Walaupun tidak 100 peratus selamat untuk tidak dijangkiti COVID-19, sekurang-kurangnya kesan daripada dijangkiti COVID-19 itu kurang. 

“Jadi, saya menyarankan agar semua rakyat Malaysia mengambil vaksin,” katanya. 

Manakala, Medline Henry dari SMK Subis pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas pelaksanaan proses vaksinasi COVID-19 remaja berumur di bawah 18 tahun. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengadakan program vaksinasi kepada remaja berumur di bawah 18 tahun untuk Daerah Subis,” katanya. 

Dalam proses vaksinasi di kedua-dua PPV tersebut, pelajar yang hadir menerima vaksin COVID-19 ditemani ibu bapa masing-masing sebagai tanda sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

Sementara itu, bagi remaja yang kawasan penempatan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), program vaksinasi tersebut akan dilaksanakan pada suatu tarikh baharu. 

Manakala, bagi remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai Rumah perlu menghantar nama mereka ke Pejabat Daerah Subis untuk tujuan penyelarasan pemberian vaksin COVID-19. 

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Niah Fazly Juna, Ketua Program PPV Bekenu, Dr Monica Tan Joe Yng, Ketua Program PPV Sepupok Niah,Dr Kiew Lee Boon dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Sharkawi Suhaili.-EDISI UKAS

Share
0

add comment