Lihat Sudut Positif Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

SELANGAU: Masyarakat diajak untuk melihat dari sudut positif sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia terutamanya dari segi wujudnya pembangunan dan kemakmuran.

Menurut Pegawai Daerah Selangau, Inting Nyami, golongan muda khususnya perlu menghayati pejuangan pemimpin terdahulu berdepan pelbagai kesukaran demi membawa keharmonian di negara ini.

“Kita perlu melihat sambutan ini dari sudut positif, hayati pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu demi negara kita.

“Segelintir generasi hari ini mudah lupa akan jasa pemimpin kita yang telah berjuang demi keharmonian dan wujudnya pelbagai pembangunan,” katanya.

Bercakap dalam Program Ziarah UKAS : Semarak Kemerdekaan yang dianjurkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Selangau pada Sabtu, beliau menambah daerah Selangau turut menikmati pelbagai pembangunan hasil daripada usaha pemimpin terdahulu.

Beliau menyeru rakyat dan generasi muda agar terus bersatu padu dan mengekalkan keharmonian tanpa mengira bangsa dan agama.

Program Ziarah UKAS: Semarak Kemerdekaan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas anggota keselamatan dan juga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share
0

add comment