Lima Sekolah, Tiga NGO Terima Geran Khas ICU

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

SARIKEI  : Sebanyak lima buah sekolah rendah dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) di Zon Sarikei dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang telah menerima cek Geran Khas Jabatan Perdana Menteri (ICU) dari Kerajaan Persekutuan pada Sabtu.

Simbolik penyerahan geran yang berjumlah RM 38,000 disempurnakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Antara sekolah yang menerima cek tersebut ialah SK Muara Payang, SK Agama Sarikei, SK Jawa Kerubong, SK Adin Sare dan SJK San Ming Sare yang masing-masing menerima cek berjumlah RM 5,000.

Manakala Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti Imtiaz) dan Persatuan Wanita KASTAM Diraja Malaysia Sarikei menerima RM 5,000 dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak, Sarikei menerima cek berjumlah RM 3,000.

Terdahulu, tiga buah sekolah rendah di Zon Tanjung Manis turut menerima sumbangan yang sama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Galau Rajang,SK Abang BUyuk Jerijih dan SK Bayang yang masing-masing menerima cek RM 5,000.

Justeru, Datu Len berharap dengan adanya bantuan tersebut akan dapat membantu Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) menjalankan aktiviti serta dapat membantu sesi persekolahan yang kini tertumpu kepada Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR). -EDISI UKAS

Share
0

add comment