Majukan Diri, Kekalkan Perpaduan Dan Kemerdekaan Negara

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

ASAJAYA: Rakyat di Sarawak diingatkan untuk terus memajukan diri selain mengekalkan perpaduan antara kaum yang sedia ada dalam menikmati erti kemerdekaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia penting bagi rakyat untuk terus berusaha dalam membangunkan diri sendiri sekaligus memastikan Sarawak lebih seimbang daripada aspek politik dan ekonomi.

Menurutnya, kerajaan Sarawak turut meraikan sambutan Hari Kebangsaaan dan Hari Malaysia dalam menunjukkan semangat keharmonian dan kesatuan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Meskipun kita berdepan cabaran COVID-19, kita menyemarakkan semangat patriotik di kalangan rakyat majmuk dalam norma baharu,” katanya semasa Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan DUN Asajaya di pekarangan Pejabat Daerah Asajaya pada Sabtu.

Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, pegawai-pegawai kerajaan yang lain serta ketua masyarakat setempat.

Datuk Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan merangkap ADUN Asajaya menambah, meskipun Malaysia amnya dan Sarawak khususnya sudah mencapai kemerdekaan sejak sekian lama, namun ia perlu dipertahankan sepanjang masa.

Dalam pada itu, lebih 20 peserta terdiri daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak Bahagian Samarahan, Jabatan Penerangan Samarahan, dan Persatuan Belia Saberkas Cawangan Asajaya menyertai konvoi tersebut melibatkan 11 kenderaan dihiasi dengan Jalur Gemilang serta bendera Sarawak.-EDISI UKAS

Share
0

add comment