Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan, Santuni Veteran ATM

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

DARO: Rombongan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Matu Daro Serdeng bersama Persatuan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Daro telah memberi sumbangan kepada pesara ATM sekitar Daro, Matu Dan Pulau Bruit yang menghidap sakit kronik pada Sabtu.

Program anjuran UKAS Daro dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Matu Daro ini bertujuan bagi menghargai jasa dan pengorbanan bekas anggota tentera sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021. 

Menurut pegawai anggota tentera bersara, Hamran Badong, beliau telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia selama 21 tahun iaitu sejak tahun 1976 sehingga beliau tamat perkhidmatan pada tahun 1998. 

Beliau menceritakan pengalamannya sepanjang beliau bertugas sebagai pegawai warren, banyak liku-liku dan cabaran dalam perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan.

“Jadi saya berharap agar generasi muda perlu ingat sejarah-sejarah lampau yang membawa kita sehingga ke masa kini iaitu dalam situasi yang serba ada, baik dari segi pembangunan dan sebagainya.

“Dan saya percaya, ingatlah sejarah yang lama supaya kita ingat kembali perjuangan orang terdahulu yang telah bersusah payah dalam memperjuangkan negara kita demi mencapai kemerdekaan Malaysia,” katanya ketika ditemubual wartawan UKAS.

Sementara itu,  penerima berasa terharu dan dihargai dengan adanya program seperti ini dan bersyukur di atas sumbangan yang dapat meringankan sedikit beban ahli persatuan dalam menghadapi situasi sukar akibat pandemik Covid-19. 

Dalam pada itu, rombongan bergerak ke 20 buah rumah penerima di Sekitar Daerah Daro, Matu dan Pulau Bruit dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa serta telah berjalan dengan lancar dan dengan kerjasama baik daripada KMKK dan Persatuan Veteran ATM Matu Daro Serdeng.-EDISI UKAS

Share
0

add comment