Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan, Sumbang Bakul Makanan Dan Jalur Gemilang 

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

SIBU : Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan Sempena sambutan Hari Malaysia telah diadakan serentak di seluruh Sarawak pada Sabtu oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Bujang Zainudin Abdul Majid, program tersebut bertujuan membangkitkan dan menyemarakkan lagi semangat patriotik menjelang sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba.

“Tujuan program ini adalah untuk membekal bendera kepada Ketua Masyarakat, sebagai wakil kepada masyarakat tempat masing-masing berkaitan dengan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September tahun ini.

“Jadi salah satu daripadanya adalah untuk memberi semangat atau mengenangkan kembali perjuangan pemimpin dahulu bagaimana Sarawak ini mencapai kemerdekaan melalui gabungan Malaysia,” jelas beliau ketika ditemubual wartawan UKAS.

Bagi Daerah Sibu, program ini dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka yang bertempat di Simpang 3 Cafe dengan seramai 10 orang wakil yang mewakili kawasan atau kampung telah hadir menerima sumbangan tersebut untuk diagihkan kepada surau bagi menerima bendera.

Selain itu juga, turut dijemput seramai 10 orang penerima bakul makanan yang terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Pejabat Residen Sibu juga telah menyumbangkan sebanyak 10 set bendera kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tersenarai.

Sepanjang program berlangsung, Prosedur Operasi Standard (SOP) turut dipastikan sentiasa dipatuhi. -EDISI UKAS

Share
0

add comment