Sesi Libat Urus KKR Bersama Perunding, Kontraktor Dan JKR Sarawak Cari Jalan Penyelesaian Terbaik Projek LPB

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

TATAU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang sepatutnya siap pada September 2021 telah dilanjutkan setahun lagi disebabkan pembatalan Rakan Pelaksana Projek (PDP) oleh Pakatan Harapan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak pandemik COVID-19 serta masalah berkaitan bahan binaan. 

Sehubungan itu, Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Dato’ Sri Fadillah Yusof memberitahu penganjuran Sesi Libat Urus Prestasi Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo – (Work Package Contract) bersama pihak perunding, kontraktor dan JKR Sarawak dan KKR untuk mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan dalam memastikan projek ini dapat disiapkan. 

“Saya sendiri dan telah berincang dengan JKR Sarawak secara pengamatan pada masa ini berdasarkan tuntutan bayaran yang dibuat kontraktor.

“Kita melihat bahawa untuk menyiapkan projek ini dalam September 2021 adalah satu cabaran yang agak besar oleh kontraktor. 

“Sebab itu, kita berbincang mencari jalan dengan pertama sekali untuk mencari jalan bahawa mereka dapat menyiapkan dalam tempoh September 2022. Kalau tidak dapat, apakah tarikh munasabah untuk mereka dapat siap,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mendengar taklimat dan mengadakan tinjauan di Jambatan Sungai Arip ke Simpang Airport Bintulu pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas aduan orang ramai berhubung dengan keadaan jalan raya sementara yang berlubang dan papan tanda kurang jelas, Dato’ Sri Fadillah turut memberitahu beliau telah meminta kontraktor menubuhkan satu pasukan pemantauan atau peronda untuk menangani aduan tersebut bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan jalan ini. 

“Kita minta pihak kontraktor menubuhkan pasukan pemantau atau peronda yang akan memantau jalan ini. Jangan tunggu aduan, mereka patut buat dulu. Itu yang kita minta dengan komitmen.  

“Kita bersama JKR Sarawak dengan PMC akan memantau perkara ini supaya ianya dapat diselesaikan. 

“Keduanya, tanda-tanda isyarat yang menunjukkan adanya pembahagian dan lencongan baharu supaya nampak jelas dan mudah dilihat oleh orang ramai bagi mengurangkan risiko kemalangan,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kakus dan Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong.-EDISI UKAS