Tarikh 16 September 1963 Sangat Signifikan Kepada Rakyat Sarawak Sabah

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

MIRI: Tarikh 16 September 1963 sangat signifikan dan bermakna kepada rakyat Sarawak dan Sabah apabila terbentuknya sebuah negara dikenali Malaysia. 

Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebatian Ting Chiew Yew, pada tahun ini merupakan Ulang Tahun Ke 58 Pembentukan Malaysia dan sepanjang tempoh itu telah banyak pembangunan yang dilaksanakan dan keharmonian pelbagai kaum dikecapi khususnya golongan muda. 

“Tarikh ini sangat sentimental dan bermakna kepada rakyat Sarawak dan Sabah. Ini kerana tarikh tersebut bermulanya pembentukan Malaysia. 

“Sepanjang 58 tahun Malaysia, telah banyak pembangunan yang dilaksanakan dan juga kehidupan yang harmoni dalam pelbagai kaum yang akan diteruskan dengan penyertaan golongan muda untuk masa depan lebih cerah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Program Ziarah UKAS DUN Piasau – Semarak Kemerdekaan di The Grand Old Lady, Bukit Kanada Miri pada Sabtu.  

Turut memeriahkan program ini Kelab Sukan Rekreasi Permotoran Y15zr Miri (KPY15zr Miri), Geng Tayar Besar Miri (GTB Miri), Miri Rider Motorcycle Club (MRMC), Santai Bikers Team Bekenu, Pelesit Selatan, Riders 30 Miri dan Miri Bikers Club. 

Mengulas lanjut, Datuk Sebastian Ting bersetuju pengumuman  Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub berkenaan ‘Keluarga Malaysia’ dengan terus mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf atau ‘equal partner’. 

“Setiap tahun apabila tibanya tarikh 16 September, rakyat Sarawak dan Sabah akan mengingati tarikh ini sebagai hari Pembentukan Malaysia. 

“Kita sebagai rakan setaraf kepada pembentukan Malaysia memandang ke hadapan sebagai sebuah keluarga besar atau ‘Keluarga Malaysia’ seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob,” ujarnya. 

Hadir sama Residen Bahagian Miri Abdu Aziz Mohd Yusuf, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Pemangku Pegawai Daerah Miri Edward Tawang, Pemangku Timbalan Residen Miri Rose Edward Tarang dan Pemangku Ketua Seksyen Perancangan dan Pembangunan Sosial Pejabat Residen Bahagian Miri Nora Shafia Muhiyuddin.-EDISI UKAS

Share
0

add comment