UKAS Sumbang Bantuan Makanan Kepada Petugas Barisan Hadapan Di Pos Kawalan PKPD Kampung Beliong, Asajaya

AHAD, 12 SEPTEMBER 2021

ASAJAYA: Petugas barisan hadapan yang bertugas di Pos Kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Beliong, Asajaya di sini menerima sumbangan berupa bungkusan makanan menerusi Program Terima Kasih Frontliners pada Sabtu.

Simbolik penyerahan bakul makanan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disaksikan oleh Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak seterusnya merakamkan penghargaan kepada pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan yang berusaha memberi bantuan makanan untuk petugas barisan hadapan semasa melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan.

Pada masa sama, beliau juga merakamkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan di Pos Kawalan PKPD Kampung Beliong, Asajaya yang bekerja keras dalam usaha mengekang dan membendung pandemik wabak COVID-19.

Program ‘Terima Kasih Frontliners’ anjuran UKAS ini bertujuan menunjukkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada petugas barisan hadapan.

Antara lain pengisian program ini adalah penyampaian sumbangan kepada para petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan di samping mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai pengorbanan mereka. -EDISI UKAS

Share
0

add comment