1,515 Remaja Berumur 16 Dan 17 Tahun Terima Vaksin COVID-19 Di PPV Dewan Suarah Limbang

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Seramai 1,515 pelajar termasuk 80 pelajar dari luar Daerah Limbang menerima suntikan vaksin COVID-19 sepanjang tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, mereka ini merupakan pelajar yang telah mendapat persetujuan daripada ibu dan bapa untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. 

“Kita di Daerah Limbang ada mempunyai 5 buah sekolah menengah dengan jumlah pelajar dalam golongan ini berjumlah 1,435 orang yang bersetuju untuk diberi vaksin.

“Bagaimanapun, ada juga pelajar dari luar Limbang yang mendaftar berjumlah 80 orang. 

“Jadi keseluruhan untuk 3 hari ini kita jangkakan berjumlah 1,515 pelajar yang akan diberi vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menagdakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang pada Sabtu. 

Ujarnya lagi, sekiranya ada pelajar yang tercicir dalam mendapatkan vaksin COVID-19, mereka boleh mendapatkan vaksin pada bila-bila kerana di PPV Dewan Suarah Limbang masih lagi dibuka secara walk-in untuk mereka yang belum divaksin termasuk golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menyatakan setakat Sabtu Daerah Limbang telah mencatat 30,987 atau 91.5 peratus bagi dos pertama dan 30,510 atau 90.1 peratus dos kedua. 

“Jadi, ini bermakna kita di daerah Limbang ini telah mencapai peratusan yang tinggi untuk mencapai apa yang kita namakan imuniti kelompok. 

“Saya berharap sekali lagi mereka yang belum divaksin datanglah untuk pemvaksinan sebab ini penting kerana kita dijangka akan beralih ke fasa endemik,” ujarnya. 

Turut sama hadir ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Ketua PPV Dewan Suarah Limbang Dr Nor Atiqah Osman dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Patrick Lukong. -EDISI UKAS

Share
0

add comment