16 September 1963, 4 Wilayah Bergabung Membentuk Malaysia

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

MIRI: Semua rakyat Malaysia perlu mengetahui 16 September 1963 sebagai tarikh pembentukan atau penubuhan Malaysia. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, mengingati tarikh ini sangat penting yang bertujuan menyatukan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

“Ada di kalangan masyarakat yang salah faham dengan mengatakan Sarawak menyertai Malaysia. 

“Kenyataan itu sebenarnya tidak betul dan apa yang betul ialah pada 16 September 1963, iaitu ada empat pihak iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dan menubuhkan sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia,” katanya semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan 2021 dengan kerjasama Pusat Khidmat SUPP Cawangan Senadin Miri di Dewan Dato’ Permaisuri pada Sabtu. 

Pada majlis itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada 13 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Senadin sebagai simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada setiap kampung.

Antara kampung yang terlibat ialahKampung Lopeng Tengah Riam, Kampung Batu Satu Kuala Baram, Kampung Senadin Jaya, Kampung Lembah Hijau, Kampung Riam Jaya, Kampung Masjid Kuala Baram, Kampung Muhibbah Kuala Baram, Kampung Tudan Fasa 4 dan 5, Kampung Pengkalan Lutong,Kampung Tudan Fasa 2, Kampung Pujut Tanjung Batu dan Kampung Haji Wahed.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua penduduk kampung untuk mengibarkan bendera kebangsaan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di kawasan kampung atau dewan serbaguna menjelang Sambutan Hari Malaysia agar dapat menceriakan suasana kampung serta menyemai semangat patriotik dan cinta kepada negara.-EDISI UKAS

Share
0

add comment