365 Remaja Berumur 16 hingga 17 Tahun Daerah Tatau Terima Vaksin COVID-19

13 SEPTEMBER 2021 2021

TATAU: Seramai 365 remaja yang terdiri daripada 335 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau dan 30 lagi remaja menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan SMK Tatau pada Sabtu. 

Kebanyakan pelajar yang hadir ditemani ibu dan bapa masing-masing semasa menunggu giliran untuk menerima vaksin OCVID-19. 

Terdahulu, sebelum divaksinasi setiap pelajar akan ditemuduga mengenai tahap kesihatan sebelum diberikan suntikan vaksin. 

Bagi Cannary Magai Sanok, pelajar Tingkatan 4 SMK Tatau ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata beliau berasa gembira kerana akhirnya dapat menerima suntikan vaksin dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan. 

“Saya berasa gembira kerana berjaya menerima suntikan vaksin COVID-19 kali pertama dengan vaksin jenis Pfizer. 

“Selepas proses suntikan vaksin COVID-19, saya tidak merasakan apa-apa kesan sampingan atau kesakitan.

“Untuk itu, saya menyeru rakan-rakannya yang belum menerima vaksin supaya jangan berasa takut,” katanya semasa ditemui pada Sabtu. 

Perkara yang sama turut dikongsikan Christiey Sedai Edwin juga dari SMK Tatau yang berkata suntikan vaksin COVID-19 tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya. 

“Suntikan vaksin COVID-19 tidak memberikan apa-apa kesan sampingan atau berasa sakit ketika diberikan suntikan.

“Saya berharap dengan suntikan vaksin ini membolehkan sesi persekolahan dibuka secepat mungkin kerana mereka tidak sabar untuk turun belajar seperti sediakala,” ujarnya. 

Proses vaksinasi remaja berumur 16 hingga 17 tahun di Daerah Tatau diadakan selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan pada awal Oktober nanti.-EDISI UKAS

Share
0

add comment