6,458 Remaja Berumur 16 Dan 17 Tahun Di Bahagian Bintulu Setuju Terima Vaksin COVID-19

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

BINTULU: Proses vaksinasi remaja berumur 16 dan 17 tahun di Bahagian Bintulu telah bermula pada 8 hingga 12 September 2021 dan berjalan lancar serta mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa dan pelajar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat, proses vaksinasi ini melibatkan 7 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan merangkumi 10 buah sekolah yang terdiri 6 buah sekolah menengah kerajaan dan masing-masing sebuah sekolah swasta dan sekolah vokasional. 

“Jumlah pelajar yang kita cadang dan telah pun bersetuju divaksin dianggarkan berjumlah 6,458 pelajar. Dariapda jumlah itu, 2,639 orang atau 40.9 peratus telah pun divaksin setakat ini (Sabtu). 

“Sementara itu, jadual bagi 11 September 2021 (Sabtu), seramai 2,996 pelajar menerima vaksin, manakala esok (Ahad)  pula melibatkan seramai 780 orang pelajar. 

“Kita menjangkakan proses vaksinasi untuk Bahagian Bintulu akan selesai esok hari (Ahad),” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SMK Kidurong pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Jack Aman yang juga Residen Bahagian Bintulu turut menambah, kelonggaran proses vaksinasi turut diberikan kepada pelajar Bintulu yang belajar di luar Bintulu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Misalnya, bagi pelajar yang menuntut di Sekolah Menegah di Kuching, tetapi sekarang berada di Bintulu mereka dibolehkan untuk mengambil vaksin tersebut secara walk-in. 

“Para pelajar ini boleh datang ke pusat PPV SMK Bintulu yang menyediakan khidmat vaksin bagi pelajar di luar kawasan Bintulu,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun dan tidak bersekolah turut tidak ketinggalan menerima vaksin dengan mempelawa mereka datang ke PPV berhampiran untuk mendapatkan vaksin dengan hadir bersama penjaga masing-masing. 

Dalam pada itu, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut menembual beberapa orang pelajar yang menerima vaksin COVID-19 dan ibu bapa yang menemani anak mereka dalam proses vaksinasi ini. 

Bagi Joycelyn Adriana, pelajar Tingkatan 4 SMK Assyakirin memberitahu beliau pergi mendapatkan vaksin COVID-19 disebabkan tanggungjawab sebagai anak supaya meredakan kerisauan bapa terhadap keselamatannya daripada jangkitan COVID-19. 

“Saya mengambil vaksin ini disebabkan bapa saya yang suruh.

“Ini supaya kerisauan dia akan berkurangan dan tidak mahu saya dijangkiti COVID-19,” katanya. 

Sementara itu, Melvin Jexson Julie yang juga dari SMK Assyakirin memberitahu ahli keluarga telah mendorongnya mendapatkan vaksin COVID-19 selepas kesemua mereka telah  turut mendapatkan vaksin sebelum ini. 

“Ahli keluarga sendiri telah mendorong saya mendapatkan vaksin COVID-19. 

“Ini disebabkan semua ahli keluarga juga telah menerima suntikan vaksin COVID-19. 

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya,” katanya. 

Manakala, bagi Lenyang Jaman, ibu kepada salah seorang pelajar dari SMK Assyikirin menjelaskan beliau telah menyuruh anaknya mendapatkan vaksin demi keselamatan dan kesihatan daripada dijangkiti COVID-19. 

“Saya menyuruh anak saya pergi mendapatkan suntikan vaksin supaya dia dilindungi daripada jangkitan COVID-19 pada masa akan datang. 

“Vaksin ini sangat perlu bagi saya untuk meningkatkan imunisasi anak saya dan menjaga kesihatannya supaya bebas daripada COVID-19,” katanya. 

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pegawai Kesihatan Bintulu Dr. Melvin Chung, Timbalan Pegawai Pendidikan Bintulu Tero Bayel dan Pengetua Sekolah SMK Kidurong Rosli Salleh. -EDISI UKAS

Share
0

add comment