Cuaca Tidak Menentu, Penduduk Tinggal Di Tepi Sungai Dan Kaki Bukit Diminta Berwaspada

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini  telah menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kuat di beberapa tempat di Sarawak.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni meminta masyarakat khususnya mereka yang tinggal di tepi sungai dan kaki bukit supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini mendorong  kejadian yang tidak diingini berlaku seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya.

“Penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya penempatan mereka berisiko dilanda bencana dan memastikan kawasan kediaman selamat didiami.

“Langkah awal perlu diambil untuk pastikan apabila bencana berlaku, nyawa dan harta benda sentiasa diutamakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Goebilt baru-baru ini.

Terdahulu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Goebilt telah menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Goebilt baru-baru ini, Dr Hazland melahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang berlaku.

“Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Goebilt itu tidak dapat dielakkan disebabkan rumah tersebut dibina di lereng bukit.

“Apa yang boleh dilakukan ketika ini ialah memastikan tanah runtuh itu dibersihkan sebelum kerja-kerja lain dilakukan.

“Bagaimanapun, dalam kejadian tersebut tidak membabitkan kemalangan jiwa,” ujarnya.

Turut sama hadir ialah Ketua Kaum Mokhtar Ghani.-EDISI UKAS

Share
0

add comment