Kembali Fokus Usaha Perangi Pandemik COVID-19: Al-Sultan Abdullah

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan yang baharu untuk melipat gandakan usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Beta keluar daripada ancaman pandemik ini.

“Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama,” titah Al-Sultan Abdullah sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada Isnin.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan ahli politik supaya tidak menjadikan rakyat sebagai taruhan untuk mencapai agenda tertentu.

“Nasihat Beta kepada semua ahli-ahli yang berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada ahli-ahli yang berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” tambah Al-Sultan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan, kepada semua ahli politik dan seluruh rakyat menghayati sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan persekutuan malaysia agar sentiasa berdiri tegap dan kukuh di atas asas patriotisme serta semangat cintakan negara yang tinggi bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan tidak lama lagi. –EDISI UKAS

Share
0

add comment