Khidmat Veteran Anggota Tentera Masih Diperlukan Dalam Masyarakat

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

MIRI: Veteran tentera yang telah berkhidmat dalam mempertahankan negara dan negeri tercinta sebelum ini masih mempunyai peranan penting dalam masyarakat. 

Menurut Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, jasa dan pengorbanan mereka masih diperlukan masyarakat  ketika ini terutama dalam membantu kerajaan mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Saya ingin menjelaskan bahawa pengorbanan veteran tentera kepada Malaysia dan Sarawak sangat dihargai dan masih diperlukan masyarakat. 

“Selepas bersara, mereka masih boleh berkhidmat di dalam komuniti terutamanya dalam masa pandemik COVID-19. 

“Sebagai contoh, mereka telah membantu mengenal pasti keluarga dan masyarakat yang terkesan akibat penularan COVID-19 menerusi ‘bendera putih’ sebelum ini,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan sumbangan Alat Bantuan Keselamatan dan Cenderahati kepada Persatuan Veteran Tentera Malaysia sempena Program Ziarah UKAS Semarak Kemerdekaan di Pejabat Persatuan Veteran Tentera Malaysia Cawangan Miri pada Sabtu. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak Cawangan Miri Kissinger Tutong ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di atas penganjuran program ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan veteran tentera selama ini. 

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memperingati jasa pahlawan negara dan rakan-rakan kita yang telah gugur di medan peperangan. 

“Mereka juga pernah mengorbankan banyak masa dan tenaga dan ada sesetengah mereka pernah menitiskan darah untuk menjamin keselamatan bangsa dan negara yang tercinta ini,” katanya. 

Pada majlis itu, seramai 5 orang Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) telah menerima cenderahati dan juga menerima 110 bungkus alat bantuan keselamatan  utnuk diagihkan kepada ahli-ahli veteran PVTMS Miri.-EDISI UKAS

Share
0

add comment