ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021
PULAU BRUIT:Pembangunan dan kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop terus diperkasa dengan usaha berterusan wakil rakyatnya, Abdullah Saidol.
Beliau yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Koporat dan UKAS dalam lawatan kerja dua hari sekali lagi menyediakan peruntukan kepada penduduk dan pada kali ini menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM348,620.
Beliau ketika ditemui pada hari terakhir dalam sesi lawatan kerja itu pada Ahad berkata, peruntukan lebih kepada untuk membaiki dan menyediakan kemudahan penduduk kampung.
“Lawatan kerja selama dua hari ini melibatkan kawasan ke tujuh destinasi untuk menyampaikan MRP berjumlah RM348,620.
“Penerima terdiri daripada dua buah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tiga Jawatankauasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang dan empat JKKK Kampung.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk membaiki prasarana, kemudahan awam seperti jeti, jalan dan juga tempat meletak kereta,” katanya.
Antara penerima sumbangan tersebut ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SK Mohd Redeh, Kampung Saai (RM6,000) dan SK Tekajong (RM1,000).
Manakala empat JKKK dari Kampung Masjid Tekajong (RM88,000), Kampung Penibong (RM3,420), Kampung Sedo (RM90,000).
Tiga JKKK rumah panjang iaitu Rumah Sulong (RM15,000), Rumah Atat (RM38,000), Rumah Gawai (RM24,000) dan Jawatankuasa Panel Klinik Kesihatan Betanak (RM81,000).
Lawatan kerja beliau pada kali ini turut berkesempatan untuk singgah di Rumah Ibadat sementara Kampung Semop dan telah menyampaikan sumbangan daripada pihak SACOFA berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Masjid Al Amin, Kampung Semop.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes positif COVID-19 yang kini masih meningkat, Abdullah berkata, masyarakat perlu berdisiplin dan sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa.
Ujarnya, bagi memastikan suasana kehidupan di fasa endemik nanti berjalan lancar dan tidak terlalu tertekan, setiap masyarakat mesti bekerjasama, tidak bersikap degil dan mementingkan diri sendiri.
“Bila kita memasuki fasa endemik, walaupun majoriti besar masyarakat telah menerima suntikan vaksin tetapi kita perlu berdisplin, bertanggungjawab dan sentiasa patuh kepada panduan pencegahan serta arahan pihak yang berkuasa dari masa ke semasa.
“Kehidupan kita serta urusan kerja harus diteruskan,” ujarnya.
Beliau percaya, virus COVID-19 tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya untuk beberapa tahun akan datang seperti nyamuk aedes yang mustahil dapat dibunuh semua untuk mengelak demam denggi.
Abdullah juga menambah, jumlah kes positif COVID-19 yang meningkat itu tidak begitu membimbangkan beliau dan warga kerja Pusat Khidmat yang telah menerima suntikan vaksin lengkap.
Namun begitu ujarnya, mereka perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS