SALURAN Hubungkan Rakyat Di Luar Bandar, Pedalaman Sarawak

ISNIN, 13 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited menyediakan kesalinghubungan untuk mencapai liputan internet sebanyak 93.6 peratus menjelang penghujung tahun 2022 melalui pelaksanaan Sarawak Linking Urban, Rural and Nation atau SALURAN.

Sejak pelaksanaan SALURAN pada Januari 2021, kawasan liputan kini meningkat dari 54.2 peratus kepada 93.6 peratus menjelang Disember 2022.

Kawasan-kawasan ini meliputi jalan raya, penempatan dan pusat ekonomi seperti tempat pelancongan dan sebagainya.

Manakala baki 6.4 peratus pula akan mendapat liputan mulai tahun 2023 dan seterusnya.

Dengan siapnya 150 tapak MySRBN dan 71 tapak Jendela setakat ini, terdapat peningkatan dalam liputan 4G.

Ini akan dimantapkan lagi dengan penaiktarafan rangkaian semasa, iaitu daripada 2G dan 3G kepada rangkaian 4G dalam usaha untuk menyediakan rangkaian internet yang lebih baik kepada penduduk Sarawak.

Bagi kawasan yang tiada liputan atau liputan lemah, masalah ini akan dapat dikurangkan dengan adanya menara dan infrastruktur SMART dan JENDELA seperti yang telah dirancang dan akan dilaksanakan.

Inisiatif SALURAN yang merangkumi MySRBN, JENDELA, DSE dan Wifi SMA dilaksanakan untuk mengatasi ketandusan jaringan internet di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

Inisiatif ini telah dinikmati lebih daripada 50,000 pengguna sejak ia dilancarkan pada Januari 2021.

Jumlah ini dijangka menjangkau lebih 500,000 penduduk kawasan pedalaman Sarawak pada akhir 2022.

Melalui SALURAN, rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak kini boleh menggunakan internet untuk tujuan pembelajaran seperti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), berkomunikasi, e-dagang, perbankan internet, melayari laman web dan pelbagai lagi. – EDISI UKAS

Share
0

add comment