8,868 Remaja Berumur 16 Hingga 17 Tahun Bahagian Miri Telah Divaksin

SELASA, 14 SEPTEMBER 2021

MIRI: Seramai 8,868 orang remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun di Bahagian Miri telah diberikan vaksin COVID-19 yang berakhir pada 12 September 2021. 

Berdasarkan data dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), seramai 11,076 orang pelajar dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dan seramai 488 orang remaja berumur 16 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah hadir secara walk-in bermula 10 hingga 12 September 2021 di kesemua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan di Bahagian Miri.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,706 orang pelajar tidak divaksin.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, antara faktor atau sebab pelajar tersebut belum divaksin ialah mereka tidak hadir ke PPV, mempunyai kontraindikasi (tanda bahawa vaksin tidak boleh diberikan kerana kesan mudarat), enggan menerima vaksin dan mempunyai ko-morbid obesiti.

“Daripada lawatan saya ke pusat vaksin pada Jumaat lepas, saya telah mendapat maklum balas daripada pengetua dan guru besar iaitu kira-kira 10 peratus pelajar tidak dapat divaksin di PPV Awam kerana mempunyai ko-morbid obesiti

“Mengikut garis panduan vaksinasi remaja, mana-mana remaja yang mempunyai ko-morbid obesity atau mana-mana ko- morbid yang disenaraikan hendaklah dilaksanakan suntikan vaksinasi di hospital,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Eastwood dan PPV Dewan Universiti Curtin pada Jumaat lepas. 

Terdahulu sebanyak 30 buah sekolah menengah di Bahagian Miri telah terlibat dengan pemberian vaksin COVID-19 remaja berumur 16 hingga 17 tahun selama tiga hari bermula 10 hingga 12 September 2021 iaitu masing-masingnya 19 buah sekolah menengah di Daerah Miri, lima di Daerah Subis dan selebihnya di kawasan Baram iaitu di Daerah Marudi, Daerah Beluru dan Daerah Telang Usan.

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut menjelaskan beliau ada menerima maklum balas daripada pengetua sekolah bahawa ada pelajar terpaksa dirujuk ke Hospital Miri untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Seorang pengetua ada memaklumkan kepada saya daripada 440 orang pelajar, 48 orang pelajar tidak dapat diberikan suntikan vaksin di PPV Awam.

“Ini disebabkan mereka mempunyai ko-morbid obesiti dan akan dirujuk ke Hospital Miri bagi diberikan suntikan vaksin COVID-19. 

“PPPD dan sekolah telah memberikan senarai remaja dengan ko-morbid obesiti ini untuk vaksinasi di Hospital Miri,” jelasnya.-EDISI UKAS

Share
0

add comment