ADUN Samalaju Setuju Naik Taraf Kemudahan Kolej Vokasional Bintulu

SELASA, 14 SEPTEMBER 2021

BINTULU: Pusat Khidmat DUN Samalaju bersetuju untuk menaik taraf kemudahan di Kolej Vokasional bagi keselesaan dan kemudahan pelajar dalam mengadakan aktiviti-aktiviti pembelajaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi, naik taraf kemudahan sekolah itu meliputi Projek Naik Taraf Bumbung Bangunan Sekolah bagi membolehkan ruang tersebut digunakan untuk aktiviti pelajar. 

“Projek Naik Taraf Bumbung Bangunan Sekolah akan membolehkan dewan sekolah dapat disambung dengan blok yang satu lagi supaya di kawasan bawah itu boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti pelajar,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pemasangan Plat Logo Baru Kolej Vokasional Bintulu Dan Sesi Penyerahan Bakul Prihatin di Kolej Vokasional Bintulu pada Isnin. 

Majang turut menambah beliau akan menambah bantuan kepada Kolej Vokasional Bintulu sebanyak RM15,000 bagi menaik taraf beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kolej berkenaan. 

Sementara itu, bercakap mengenai Program Bakul Prihatin Kolej Vokasional Bintulu, Pengarah Kolej Vokasional Bintulu Jamali Muhamad berkata, program ini merupakan program Fasa 3 telah diadakan selepas program Fasa 1 dan fasa 2  diadakan dengan menyerahkan sumbangan bantuan telefon pintar, pinjaman laptop dan bakul makanan ke rumah-rumah pelajar yang memerlukan. 

“Fasa 3 ini dikhaskan kepada pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan kolej. 

“Selain itu tidak dilupa juga anggota keselamatan kolej dan kakitangan pelaksana juga turut diberikan sumbangan Bakul Prihatin.

“Sumbangan Bakul Prihatin ini merupakan satu inisiatif yang dijalankan pihak pengurusan Kolej Vokasional Bintulu untuk membantu sebahagian daripada tenaga kerja Kolej Vokasional yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19,” katanya. 

Ujar Jamali lagi, penukaran baru plat logo baru Kolej Vokasional dibuat selepas mendapat arahan daripada Bahagian Pendididkan Latihan Teknikal dan Vokasional bagi penyeragaman plat logo baru Kolej Vokasinal untuk mengelakkan kekeliruan. 

Turut sama hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (TPSA) Khalwani Che Abdul Samad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Bintulu Gelau Sungei.-EDISI UKAS

Share
0

add comment