ADUN Saribas Turun Padang Serah Projek Rakyat

SELASA, 14 SEPTEMBER 2021

SARIBAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam telah turun padang bagi penyerahan projek siap, baru-baru ini.

Program beliau dimulakan dengan menyempurnakan simbolik penyerahan projek menaiktaraf ban Kampung Bungin kepada kontraktor.

Beliau berharap projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik bagi mengatasi masalah ban rosak akibat daripada hakisan tanah.

Di Kampung Serembang, Razi turut menyempurnakan majlis penyerahan projek yang sama.

Ban Kampung Serembang juga rosak akibat hakisan tanah yang sering dilanda pasang besar pada setiap tahun.

Kesempatan tersebut turut dimanfaatkan beliau bagi membincangkan perancangan pembangunan di kampung tersebut.

Pada program berasingan, Mohammad Razi telah menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh DUN Saribas.

Beliau berharap, geran tersebut dapat membantu melancarkan lagi urusan yang melibatkan JKKK.

Sementara itu, beliau menyeru ketua kampung dan tuai rumah di penempatan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memastikan penduduk mereka sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.

Ujarnya, penduduk boleh berhubung terus dengan Jabatan Kebajikan sekiranya memerlukan bantuan makanan.

Lawatan kerja beliau diteruskan dengan menyaksikan penyerahan projek siap Pusat Komuniti Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LKMD).

Projek tersebut dibina di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM500,000.

Mohammad Razi seterusnya melakukan tinjauan ke lokasi cadangan pembinaan kemudahan transit polis di Balai Polis Debak.

Siapnya kemudahan itu nanti akan memudahkan anggota polis yang bertugas di kawasan PKPD di daerah Debak tanpa perlu berulang alik dari Betong.

Majoriti anggota polis yang bertugas di PKPD daerah Debak ialah pegawai yang dari Betong.-EDISI UKAS

Share
0

add comment