SELASA, 14 SEPTEMBER 2021
MIRI: Tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, SMK Merbau dan SMK Agama Miri menerima 25 log kelulut dengan nilai RM13,500 di bawah Program Bantuan Pertanian di bawah Program Dana Pemudahcara Pertanian (AFF).
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew telah menyampaikan sendiri log kelulut ini kepada wakil tiga buah sekolah tersebut pada Isnin.
Katanya, log kelulut ini akan diletakkan di kebun sekolah bagi membolehkan pelajar mengetahui selok belok aktiviti penternakan.
Beliau turut melawat kolam ternakan ikan Patin, ikan Talapia dan ikan Keli di SMK St Joseph.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menjelaskan selain belajar, pelajar sekolah boleh juga mempelajari selok belok tentang pertanian dan apabila memperoleh hasil, ianya boleh menampung perbelanjaan sekolah.
“Hasil daripada penternakan madu kelulut ini boleh dijual dan pendapatannya boleh dimasukkan di dalam tabung sekolah untuk keperluan baik pulih kemudahan sekolah dan sebagainya,” katanya.
Hadir sama Guru Besar SMK St. Joseph Peter Use Lenjau dan Lembaga Pengurusan SMK St Joseph Miri Sylvester Lim.-EDISI UKAS