Kerajaan Laksana Pelbagai Inisiatif Capai Matlamat Pembangunan Lestari

SELASA, 14 SEPTEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memberikan kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) kepada pemimpin peringkat akar umbi serta pembuat dasar dan keputusan dapat menerima pakai, menerapkan dan melaksanakan SDG.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata Kerajaan telah mendapat kerjasama erat daripada beberapa pihak, terutama syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat-syarikat swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan akedemia.

Jelasnya, badan antarabangsa yang berpejabat di Malaysia termasuk UNDP, UNICEF dan UNCT telah melaksanakan pelbagai program bagi tujuan ini.

“Pelbagai sesi libat urus telah dilaksanakan bagi meningkatkan pendekatan dan pemahaman dalam Matlamat Pembangunan Mampan.

“Antaranya Persidangan Malaysia SDG Summit 2019 pada 6-7 November 2019; Seminar Indikator SDG pada pada tahun 2020 dan beberapa siri webinar SDG 1-17 yang telah diadakan pada tahun ini,” katanya menjawab persoalan diajukan Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim semasa sesi pertanyaan lisan, Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas pada Selasa.

Tambahnya, program merakyatkan SDG (SDG Localisation) yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), ahli akademik dan belia dalam pelbagai inisiatif pembangunan sosioekonomi di peringkat tempatan juga semakin diperluas.

Dalam pada itu, semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni semada program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang terjejas akibat COVID-19 dilaksanakan semula, Dato’ Sri Mustapa berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan memastikan operasi pembancian di lapangan selesai sepenuhnya.

Katanya, seramai 26 juta penduduk Malaysia telah dibanci atau 79.7 peratus daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk tahun 2020 telah dibanci setakat 12 September 2021.

Tambah beliau, selain daripada banci dalam talian (e-Census) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) yang dilaksanakan secara berterusan, DOSM juga sedang melaksanakan banci bersemuka sehingga 31 Oktober 2021 bagi meliputi baki 20.3 peratus penduduk yang masih belum dibanci.

Data banci yang terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara, ujar Dato’ Sri Mustapa lagi. – EDISI UKAS

Share
0

add comment