ADUN Pantai Damai Rasmi Gelanggang Futsal Di Kampung Pasir Panjang

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam Dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah merasmikan padang futsal Kampung Pasir Panjang di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai memberitahu, projek tersebut dibina dengan peruntukan sebanyak RM200,000 dan merupakan salah satu daripada projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2020 bagi DUN berkenaan.

Tambah beliau lagi, dengan adanya gelanggang futsal di kampung itu, ia dapat melahirkan pemain futsal yang berkaliber ke peringkat yang lebih tinggi.

“Setakat ini kita telah membina sebanyak 13 gelanggang futsal sejak bermulanya projek RTP pada tahun 2017 dan dengan adanya gelanggan seperti ini, ia dapat memberi kemudahan kepada generasi muda khususnya belia di kampung untuk mengadakan aktiviti sukan dan riadah,” jelasnya ketika ditemubual wartawan UKAS selepas program perasmian di situ pada Rabu.

Projek pembinaan padang futsal tersebut telah siap tiga bulan lebih awal daripada tempoh yang diberikan serta dilengkapi dengan kemudahan asas seperti gelanggang yang dikelilingi dengan pagar, bilik persalinan serta tandas awam.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa bangga dan syukur kerana projek tersebut telah dijalankan dengan baik serta dibina dengan sempurna oleh kontraktor bertanggungjawab.

“Walaupun banyak cabaran yang dihadapi tapi terbukti, seperti kekurangan bahan binaan, kekurangan tenaga kerja tapi sekiranya mereka komited dengan tanggungjawab yang telah diberikan untuk menyiapkan sesuatu projek, kita minta mereka dapat melaksanakan dengan baik,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua kampung di kawasan DUN Pantai Damai yang begitu komited dalam usaha untuk menjayakan projek pembangunan kerajaan seperti projek RTP.-EDISI UKAS

Share
0

add comment