RABU, 15 SEPTEMBER 2021
BINTULU: Hospital Bintulu memaklumkan tidak pernah membuat sebarang hebahan berkaitan dengan pemberian vaksin secara walk-in kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun pada 13 September 2021 seperti yang tular dalam media sosial.
Menurut Pengarah Hospital Bintulu dalam kenyataan media pada Selasa, pemberian vaksin di Hospital Bintulu hanya kepada golongan remaja yang menghidap komorbid dan di bawah penjagaan Klinik Pakar Hospital Bintulu sahaja.
“Fungsi Hospital Bintulu sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang memberi suntikan vaksin kepada golongan remaja 13 hingga 17 tahun yang menghidap komorbid dan di bawah penjagaan Klinik Pakar Hospital Bintulu sahaja.
“Program vaksinasi di Hospital Bintulu tidak akan menerima remaja yang sihat serta tiada sesi walk-in yang dibenarkan pada masa ini.
“Hospital Bintulu memohon maaf sekiranya timbul kesulitan disebabkan mesej yang tular berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, masyarakat diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS