RABU, 15 SEPTEMBER 2021
LAWAS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak Daerah Lawas telah memantau ketat penularan wabak penyakit demam babi Afrika (ASF) di daerah ini.
Kewujudan kes positif akibat wabak ini menimbulkan kebimbangan kepada para penternak kerana mereka akan mengalami kerugian besar sekiranya wabak tersebut berlaku ke atas ternakan mereka dan berakhir dengan pelupusan keseluruhan ternakan mereka.
Namun, JPV Sarawak memberi jaminan bahawa keadaan adalah di bawah kawalan dan kempen kesedaran dan survalen telah diadakan mengikut jadual tahunan yang ditetapkan sebelum ini.
Dalam pada itu, JPV Sarawak juga telah bertindak pantas dengan terus ke lokasi yang mana disyaki berlakunya simptom babi bergejala serta terdapat kematian ke atas ternakan penternak.
Aduan juga telah diterima dari pemburu binatang yang menjumpai bangkai babi hutan mati di hutan dan JPV Sarawak terus pergi ke lokasi untuk menyiasat perkara tersebut serta mengumpul bukti.
Bagaimanapun, JPV Sarawak ini dengan kerjasama agensi lain telah berganding bahu menjalankan penguatkuasaan serta pemantauan rapi supaya penyakit ini tidak menular ke lokasi lain di daerah ini bagi mengekang penularan penyakit ini dari merebak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Sebagai langkah berjaga-jaga, para penternak di daerah ini dinasihatkan supaya terus melaporkan sekiranya terdapat gejala dan simptom terjadi ke atas ternakan mereka.
Mereka boleh terus ke Pejabat JPV Sarawak Daerah Lawas atau terus menghubungi nombor talian 016-2840918 atau 085-285085.-EDISI UKAS