Lanjutkan PKPD, ADUN Batu Danau Santuni Penduduk Kampung Menuang Baru

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang telah menyantuni penduduk Kampung Menuang Baru yang dilanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan menyerahkan bantuan bekalan makanan.

Sejumlah 37 bungkus bantuan makanan berupa barangan makanan seperti beras, mi segera, kopi, garam, minyak masak, susu pekat dan biskut telah diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di kampung tersebut.

Penyerahan dilakukan Paulus bersama Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab di pondok kawalan PKPD pada Selasa.

Bantuan berkenaan adalah untuk menampung keperluan harian penduduk kampung dalam tempoh PKPD yang dilanjutkan dari 14 September 2021 sehingga 20 September 2021.

Agihan bantuan ini dilakukan adalah keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban penduduk setempat yang memerlukan.

Dalam pada itu, ADUN Batu Danau itu juga berkesempatan berbual dengan petugas di pondok kawalan iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)  berhubung status PKPD di kawasan tersebut.

Beliau mengharapkan agar keadaan akan kembali pulih dan penduduk setempat bersabar serta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.-EDISI UKAS

Share
0

add comment