MAKSAK Bahagian Sibu Anjur Kempen Derma Darah

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

SIBU: Sempena Hari Malaysia 2021, MAKSAK Bahagian Sibu telah menganjurkan Program Kempen Derma Darah bertempat di Galeri Kompleks Islam Sarawak pada Rabu.

Ia turut mendapat perjasama MAKSAK Wanita Bahagian Sibu, Hospital Sibu, Majlis Keselamatan Negeri Sarawak, Cawangan Sibu dan Kompleks Islam Sarawak, Sibu.

Program itu bertujuan membantu menambah bekalan darah di Hospital Sibu selain mewujudkan kesedaran dalam kalangan kakitangan kerajaan, agensi swasta dan orang ramai akan pentingnya menderma darah untuk membantu menyelamatkan nyawa.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai dengan seramai 61 individu tampil untuk menderma darah.

Menurut Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng, penganjuran kempen tersebut cukup signifikan sebagai tanda sumbangan kakitangan awam kepada masyarakat.

“Kempen derma darah ini sebagai satu sumbangan kakitangan awam kepada masyarakat dan hospital kerana kita tahu hospital sedang mengalami kekurangan bekalan darah,” katanya kepada media ketika ditemui pada program tersebut.

Menurut Wong, lebih 14 agensi kerajaan negeri dan persekutuan mengambil bahagian dalam kempen yang berakhir sekitar jam 2 petang. – EDISI UKAS