RABU, 15 SEPTEMBER 2021
MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia Daerah Miri telah menyampaikan 46 botol cecair sanitasi tangan 1 liter kepada 10 buah taska dan tabika di Bahagian Miri pada Selasa.
Menurut Penasihat PBSM Malaysia Daerah Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, cecair sanitasi tangan ini ialah satu sumbangan Syarikat Saraya dari Jepun.
“Sebelum ini, sebanyak 25,280 botol 1 liter cecair sanitasi tangan telah disumbangkan syarikat Saraya kepada PBSM Daerah Miri untuk diserahkan kepada institusi seperti taska dan tabika, orang-orang tua, rumah anak yatim, sekolah, badan dan persatuan agama serta agensi kerajaan, termasuk Majlis Bandaraya Miri (MBM),” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cecair Sanitasi Tangan di PBSM Malaysia Daerah Miri pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat Saraya atas inisiatif dan misi kemanusiaan ini dalam mencegah penularan COVID-19 di Bahagian Miri.
Hadir sama Naib Presiden 1 PBSM Malaysia Daerah Miri Liza Chai dan Pengerusi Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Miri Angela Goh.-EDISI UKAS