Pelatih GETS 4.0 Dilengkapkan Dengan Kemahiran Selaras PCDS 2030

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion optimis bahawa pelatih dan graduan akan dilengkapi dengan kemahiran yang lebih baik sekaligus menempatkan mereka dalam pekerjaan berpendapatan tinggi sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Semasa Majlis Pelancaran GETS 4.0 secara maya menerusi aplikasi Zoom yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Rabu, Datuk Amar Jaul Samion memberitahu, menerusi pelancaran PCDS 2030, beberapa kandungan latihan dalam GETS 4.0 akan diselaraskan dengan sektor ekonomi strategik PCDS 2030.

“Selain itu, program ini terus mendapat perhatian dan permintaan dari agensi awam termasuk swasta seperti yang kita lihat selama tiga tahun.

“Kita telah menerima lebih daripada 5,000 permohonan dari kelulusan latar belakang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan bukan STEM di seluruh Sarawak,” katanya.

Datuk Amar Jaul Samion menambah, lebih banyak peluang akan ditawarkan kepada graduan untuk kohort seterusnya pada tahun 2021/2022 bagi membolehkan lebih ramai graduan yang menganggur mendapat manfaat daripada program itu. -EDISI UKAS