Pengunjung Pantai Lutong Perlu Jaga Kebersihan, Jangan Buang Sampah Merata-Rata – Adam Yii

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

MIRI: Para pengunjung Pantai Lutong diseru untuk sentiasa menjaga kebersihan pantai dan tidak membuang sampah merata-rata.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, pantai tersebut adalah salah satu tempat popular yang sering dilindungi oleh penduduk tempatan.

Ujarnya lagi, beliau sedih kerana di depan pantai dipenuhi dengan sampah yang dibuang merata-rata.

“Pembuangan sampah secara sembarangan telah merosakkan keindahan pantai.

“Ia juga telah menarik perhatian para pengunjung pantai dan juga netizen yang telah menyatakan kekecewaan mereka di platform media sosial,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, warga Miri perlu mempunyai pemikiran sivik kerana ramai sukarelawan yang menjalankan inisiatif melakukan pembersihan sampah di pantai.

“Saya telah dimaklumkan oleh penduduk berhampiran bahawa adanya pembersihan pantai yang telah dilakukan sekumpulan sukarelawan semalam (Isnin),” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan atas inisiatif mereka dan ini merupakan usaha terpuji bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan di pinggir pantai.-EDISI UKAS

Share
0

add comment