Pengurangan SOP PPN Beri Kelegaan Kepada Rakyat Dalam Pelbagai Sektor

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

KUCHING : Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam Dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyambut baik saranan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kepada 10 berbanding 181 yang ada ketika ini.

Menurutnya, dengan meringkaskan SOP hanya kepada yang paling utama, ianya akan mudah difahami oleh masyarakat umum.

“Diminta kita di peringkat negeri pun akan mencontohi dan saya telah mendapat maklum daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah, di mana garis panduan SOP pandemik COVID-19 kita dinilai semula dan diringkaskan,” jelas beliau kepada media ketika ditemui di Majlis Perasmian Gelanggang Futsal Kampung Pasir Panjang di sini pada Rabu.

Tambahnya, banyak perubahan baru akan diumumkan terutamanya dalam memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi, sektor aktiviti sosial, sektor keagamaan dan sebagainya.

“Jadi ini akan memberikan kelegaan kepada masyarakat kita menjelang perubahan fasa pandemik kepada fasa endemik dalam tempoh tiga minggu yang akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan  patuh kepada SOP yang telah dikeluarkan supaya dapat memasuki fasa endemik dengan kehidupan yang lebih normal.

Datuk Seri Hishammuddin mengumumkan akan mengurangkan SOP itu pada Selasa lepas dengan proses pengurangan dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu. – EDISI UKAS

Share
0

add comment