RABU, 15 SEPTEMBER 2021
MIRI: Perkhidmatan Kaunter Pandu Lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri telah dibuka sepenuhnya secara ‘walk-in’ mulai 23 Ogos 2021 dengan pendekatan ‘siapa cepat dia dapat’ dan kehadiran pelanggan dihadkan mengikut kapasiti kaunter.
Waktu operasi ialah Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala pada Sabtu hingga Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
Penerimaan urusniaga adalah menerusi bayaran secara tunai dan pelanggan hanya terhad untuk individu dengan dua transaksi sahaja bagi mengelakkan kesesakan.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin ketika ini perkhidmatannya hanya disediakan di Daerah Miri sahaja disebabkan Sarawak berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.
“Pada ketika ini Miri masih berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3.
“Jika tidak, pada biasanya Kaunter Pandu Lalu JPJ ini pergi ke luar bandar seperti Long Lama, Marudi, dan Beluru.
“Bagaimanapun, kawasan itu perlu mempunyai talian internet,” katanya semasa ditemui media selepas menyempurnakan pelepasan Konvoi Kenderaan JPJ di Pejabat JPB Cawangan Miri pada Selasa.
Perkhidmatan Kaunter Pandu Lalu JPJ Mobile Miri ini menawarkan beberapa urus niaga bagi memudahkan urusan pelanggan antaranya Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Alamat, Semakan Saman/Senarai Hitam, Pembayaran Saman JPJ, Semakan Tarikh Luput LKM, Semakan Tarikh Luput Lesen Memandu dan Pendaftaran ID Awam MySIKAP.
Walau bagaimanapun, hanya urusniaga pembaharuan lesen memandu (LMM) sahaja tidak dapat dilaksanakan kerana masalah pencetak khas bagi cetakan LMM telah rosak dan pembekal telah mengambil tindakan menghantar ke Ibu Pejabat untuk gantian.
Begitu pun, orang awam masih boleh mendapatkan khidmat berkenaan di kaunter pejabat JPJ Miri dan Pejabat UTC Miri.
Hadir sama Ketua Pejabat JPJ Cawangan Miri Maya Morshidi.-EDISI UKAS