Program Kepolisan Komuniti Meradong Perjelas Peranan JKKK, KMKK

RABU, 15 SEPTEMBER 2021

MERADONG: Penganjuran Program Taklimat Kepolisan Komuniti bertujuan memperjelaskan peranan serta tugas yang perlu dilaksanakan semua ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Meradong.

Sehubungan itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing mahu program seumpama diteruskan secara kerap setiap tahun.

“Melalui taklimat macam ini, semua ahli JKKK faham tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Saya berharap program macam ini akan diadakan secara kerap mungkin setahun sekali atau dua kali setahun,” katanya kepada selepas merasmikan Program Taklimat Kepolisan Komuniti Daerah Meradong Siri 1 Tahun 2021 di Pejabat Lama Daerah Meradong pada Selasa.

Datuk Ding juga berharap semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bertindak dengan proaktif dalam membantu menyalurkan maklumat terkini berkaitan COVID-19 dan garis panduan kepada semua penduduk kampung dan rumah panjang.

Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua berkata sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan Pejabat Kesihatan dalam program tersebut yang menyentuh senario terkini wabak COVID-19, program vaksinasi dan vaksinasi remaja serta akta-akta yang berkaitan.

Ujar beliau, penganjuran program itu juga bertujuan mempastikan semua maklumat ini sampai ke peringkat akar umbi melalui KMKK.

Katanya, Pejabat Daerah turut menyampaikan taklimat berkaitan SOP terkini semasa fasa pemulihan bagi mendidik komuniti agar sentiasa peka dan menjaga keluarga serta jiran masing-masing dengan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan. – EDISI UKAS

Share
0

add comment