KHAMIS, 16 SEPTEMBER 2021
SIMUNJAN: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak telah mula kembali pulih dan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Menteri Muda Pembangunan Usahawan Dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais berkata, perkembangan itu dapat dilihat dengan peningkatan jumlah permohonan bagi bantuan perniagaan daripada kementeriannya.
“Aktiviti keusahawanan di negeri ini kini mula pulih dengan banyak permohonan yang telah dihantar kepada kementerian dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain khususnya apabila Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKK) 6.0 dan 7.0 diumumkan.
“Jadi saya yakin aktiviti ekonomi telah bergerak dan akan meningkat,” katanya.
Bercakap ketika ditemui selepas Program Terima Kasih Frontliners 2021 Daerah Simunjan di Pusat Khidmat ADUN N26 Gedong pada Khamis, ujarnya beliau yakin aktiviti ekonomi akan terus bergerak susulan majoriti kes positif COVID-19 yang dilaporkan kini adalah dalam kategori 1.
“Walaupun kes COVID-19 meningkat tetapi majoritinya adalah dalam Kategori 1.
“Kalau kes ini menurun saya percaya aktiviti ekonomi sama ada pertanian, nelayan, perusahaan kecil dan sederhana akan terus bergerak.
“Contohnya di Gedong, peniaga kecil telah memulakan perniagaan bukan sahaja untuk di kawasan ini sahaja malah untuk pasaran luar termasuk Kuching,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang telah betungkus-lumus menjalankan tanggungjawab di kawasan tersebut.
Malah ujarnya, kerjasama pihak tersebut memastikan hampir semua penduduk Gedong yang layak berjaya mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Datuk Naroden turut menzahirkan penghargaan di atas usaha Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyalurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan dalam program tersebut.
Hadir sama ADUN Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap dan Pengarah UKAS Samat Junai.-EDISI UKAS