KHAMIS, 16 SEPTEMBER 2021
KUCHING : Program vaksinasi COVID-19 remaja di Sarawak mencapai sasaran dengan seramai 65,252 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun bersamaan dengan 67.3 peratus di seluruh negeri telah divaksin setakat 15 September 2021.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sebanyak 234 sekolah menengah telah terlibat dan 10 bahagian di Sarawak telah selesai menjalankan program vaksinasi hingga sekarang.
“Kita telah mencapai peratus liputan dos kedua sebanyak 78.8 peratus iaitu termasuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas bagi seluruh Sarawak dan ini adalah satu pencapaian yang telah kita sasar.
“Peratusan untuk pelajar lengkap divaksin telah mencapai sasaran sebelum mereka mula bersekolah pada 3 Oktober nanti,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam Program Pelaksanaan Vaksinasi COVID-19 Remaja Sarawak di Majma Mall, pada Khamis.
Difahamkan, seramai 965 murid telah disuntik di PPV Majma Mall pada Khamis yang melibatkan dua buah sekolah iaitu seramai 557 murid dari Kolej Vokasional Matang dan 408 orang dari Kolej Vokasional Kuching.
Sementara itu, Ketua Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada petugas yang terdiri daripada guru-guru, sukarelawan dan petugas kesihatan yang memberi kerjasama baik dalam menjayakan program vaksinasi tersebut.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan yang juga Penasihat JPBN Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian. – EDISI UKAS