JPBNS Membenarkan ‘Dine-In’ Bagi Zon Selatan Mulai 20 September Ini

JUMAAT, 17 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk membenarkan ‘dine-in’ atau makan di kedai bagi Zon Selatan berkuatkuasa mulai 20 September ini.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, JPBNS memberitahu, keputusan itu dengan syarat pertama iaitu operator, pekerja dan pelanggan telah mendapat dua dos vaksinasi lengkap COVID-19.

Syarat kedua pula, pemilik premis perniagaan adalah diwajibkan untuk memastikan ventilasi dan pengudaraan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh JPBNS.

Selain itu, tempoh operasi perniagaan lain dibenarkan beroperasi dari 5 pagi sehingga 10 malam dan individu atau kumpulan individu tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 12 tengah malam.

Manakala bagi pergerakan rentas daerah, keputusan ujian RT-PCR atau ‘RTK-Antigen’ tidak diperlukan dan kelulusan permit polis masih diperlukan berkuatkuasa mulai 18 September ini.

Zon Selatan adalah merangkumi Daerah Kuching, Daerah Bau, Daerah Lundu, Daerah Samarahan, Daerah Asajaya, Daerah Simunjan, Daerah Serian dan Daerah Tebedu.-EDISI UKAS