Keputusan Pemimpin Sarawak Terdahulu Bersama Membentuk Malaysia Adalah Tepat – Dennis Ngau

JUMAAT, 17 SEPTEMBER 2021

TELANG USAN: Perayaan Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September sangat signifikan kepada penduduk Sarawak dan Sabah dalam membentuk jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, tindakan pemimpin Sarawak terdahulu yang mengambil keputusan menyertai pembentukan Malaysia adalah tepat dan ianya telah memberikan kemajuan dan pembangunan kepada Sarawak. 

“Kita akui keputusan pemimpin terdahulu yang telah bersetuju menyertai pembentukan Malaysia adalah keputusan yang tepat. 

“58 tahun berlalu, kita telah dapat melihat berbagai macam bentuk pembangunan sudah dicapai dan ini diteruskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan di pedalaman di Sarawak dapat terus dilaksanakan. 

Katanya semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS dengan tema Semarak Kemerdekaan yang diadakan di kawasan Penternakan Ikan Semulajadi (Tagang) di Sungai Beligan, Long Pilah pada Khamis. 

Dalam pada itu, Dennis turut melahirkan rasa bangga di atas usaha penduduk terus memajukan kawasan Penternakan Ikan Semulajadi (Tagang) ini sehingga menarik perhatian Ketua Menteri meluluskan dana sebanyak RM1 juta bagi mempertingkatkan lagi potensi Tagang ini kepada penduduk setempat.

Turut sama hadir Ketua Kampung Long Pilah Ketua Kaum Saging Wan Lah, Ketua Pemuda PBB Telang Usan Kaunselor  Dominic Nyurang, Kapten (B) Laeng Jau dan wakil Pengurusan Kawasan Tagang  Sungai Belingan Daniel Juk.-EDISI UKAS