Lawatan Projek Bina Baharu Pusat Interpretasi AGRO Pelancongan Nenas Kampung Sungai Mata

JUMAAT, 17 SEPTEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu sempat meluangkan masa untuk melawat Projek Bina Baru Pusat Interpretasi AGRO Pelancongan Nenas Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan dibawah peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) pada Khamis.

Lawatan bertujuan untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek berkenaan dan memastikan ia berjalan lancar serta menepati kualiti dan tarikh siap projek.

Projek bina baharu yang menelan kos sebanyak RM500,000 tersebut kelak merangkumi naik taraf bangunan di sekitar kebun nanas sedia ada (tempat makan, surau, dewan dan pejabat) yang akan dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) sebagai agensi pelaksana.

Sementara itu, Brahim Lumpu berkata, projek bina baru Pusat Interpretasi AGRO Pelancongan Nenas Kampung Sungai Mata itu merupakan inisiatif Pejabat Residen Bahagian Samarahan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dalam usaha menyusun kemudahan yang selesa di kawasan penanaman nanas.

Menurutnya, projek tersebut apabila siap kelak juga mampu menarik minat pengunjung luar datang ke kawasan tersebut.

“Ia sekaligus berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu hub agro-pelancongan yang mana peserta yang berminat akan dibawa melawat ladang nanas dan akan diajar proses penanaman nanas,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Penolong Setiausaha Perancangan & Pembangunan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MTAC) Sarawak, Wan Jamaludin Wan Abdul Wahap, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Samarahan, Lim Kiew Eng bersama wakil Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS). -EDISI UKAS