609 KIR Yang Jalani PKPD Dapat Perhatian Ahli Parlimen Batang Sadong & ADUN Simunjan

SABTU, 18 SEPTEMBER 2021

SIMUNJAN: Seramai 609 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Melanjok, Kampung Sageng Sabal, Kampung Sageng Hulu, Kampung Sageng Tengah, Kampung Sageng Hilir, Kampung Nanas Hulu dan Kampung Nanas Hilir menerima bantuan bakul makanan pada Sabtu.

Bantuan bakul makanan ini adalah hasil kerjasama daripada kedua-dua wakil rakyat di kawasan berkenaan iaitu Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simujan, Awla Dris.

Sementara itu, Dato Sri Nancy Shukri yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam video ringkasnya berkata, pengagihan bantuan makanan tersebut dilaksanakan bersama petugas Pusat Khidmat beliau bersama ADUN Simunjan dan dibantu petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau yang tidak dapat turun padang juga berpesan kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Batang Sadong khususnya di DUN Simunjan untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Dalam pada itu, Awla menjelaskan bahawa seramai 317 KIR dari Kampung Sageng menerima bakul makanan itu diikuti 222 KIR Kampung Nanas manakala 70 KIR lagi dari Kampung Melanjok.

Awla juga berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penduduk kampung yang menjalani PKPD.

Simbolik penyerahan bantuan telah dilakukan oleh Awla Dris sendiri bersama Siti Azizah Abdul Aziz iaitu Pegawai Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Batang Sadong bagi mewakili Dato Sri Nancy Shukri.

Untuk rekod, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengisytiharkan PKPD di kampung tersebut selama 14 hari bermula 10 sehingga 23 September depan. -EDISI UKAS