Penduduk Kampung Selampit Terima 260 Pek Makanan Segar Sumbangan SUPP N1 Opar

SABTU, 18 SEPTEMBER 2021

LUNDU: Sebanyak 260 pek bantuan makanan segar disumbangkan oleh SUPP Cawangan N1 Opar kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Selampit 1 dan Kampung Selampit 2 di sini pada Sabtu.

Sumbangan berupa daging ayam dan sayur tersebut telah disampaikan oleh Niponi Undek selaku Pengerusi SUPP N1 Opar dan Kaunselor Henry Simon kepada Ketua Kaum Giton Jenai dan Ketua Kaum Nyagah Gini di Bilik Gerakan PKPD Selampit.

Penyerahan sumbangan tersebut adalah bagi meringankan beban penduduk kampung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua kampung tersebut sehingga 19 September ini.

Dalam pada itu, Niponi berharap, penduduk Kampung Selampit sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dan berharap PKPD tidak akan dilanjutkan memandangkan tiada penambahan kes di kampung berkenaan. -EDISI UKAS